Selasa, 29 November 2022 | 11:19am
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan

'Jangan tukar pegawai kerajaan atas sebab dendam politik'

KUALA LUMPUR : Institusi penting negara berada dalam keadaan bahaya sekiranya ada pegawai kanan kerajaan ditukar atau dihentikan atas sebab dendam politik kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar memberi jaminan segera bahawa sikap dendam terhadap penjawat awam tidak akan dibiar berleluasa di Putrajaya.

"Saya kesal kerana dalam pertemuan pertama Perdana Menteri dengan penjawat awam, beliau gagal memberi jaminan kerajaan PH tidak akan menjalankan 'witch hunt' terhadap pegawai kerajaan.

"Kita semua masih ingat bagaimana Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dengan bongkak mengugut akan 'mencari' penjawat awam yang menjalankan tugasan mereka. Adakah membalas dendam ini masih lagi menjadi 'polisi senyap' kerajaan PH," katanya dalam entri terbaru di Facebook beliau, hari ini.

Anwar ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi menegaskan menteri yang bakal dilantik dalam masa terdekat diingatkan supaya menghormati sistem perkhidmatan awam sebagai tonggak dalam pentadbiran kerajaan.

Ini kerana, katanya, menteri dan penjawat awam saling memerlukan kerana masing-masing memiliki kepakaran khusus untuk digunakan dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.

Wan Saiful memberi justifikasi jika sikap dengan dendam ini dibawa ke kementerian, ia memberi kesan kepada perjalanan pentadbiran negara.

"Apatah lagi sekarang ini heboh dikatakan Rafizi (Ahli Parlimen Pandan) melobi hebat untuk menjadi Menteri Kewangan.

"Sekiranya sikap dendam ini dibawa ke kementerian yang sebegitu penting, apa akan jadi kepada pentadbiran negara? Mungkinkah peruntukan akan dipotong begitu saja jika dia tidak suka kepada individu tertentu," katanya.

Berita Harian X