Selasa, 29 November 2022 | 10:52am
Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November 2022 di Dataran Perdana Putra, Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia
Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November 2022 di Dataran Perdana Putra, Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

Anwar tak akan 'balas dendam' penjawat awam

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak berminat untuk mengorek kisah lalu dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Beliau yang baru dilantik sebagai Perdana Menteri empat hari lalu, berkata perkara yang lebih penting ketika ini adalah mengembalikan imej perkhidmatan awam yang semakin merosot ke tahap lebih tinggi.

"Keadaan mesti berubah, berubahnya daripada pimpinan dan pimpinan termasuk perkhidmatan awam dan pimpinan di kementerian, jabatan yang harus menerima kenyataan supaya saya tidak terlalu runsing hadapi masalah dalam kalangan penjawat awam.

"Saya harap saudara bekerja dan hormati disiplin jika saudara lihat ada kelonggaran, kecuaian sebelumnya itu sejarah lampau.

"Bukan bermaksud saya untuk mengorek kisah lama. Tidak. Saya tidak berminat. Hidup saya tahu erti derita dan sengsara, Tetapi yang penting adalah ke depan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan di Dataran Perdana Putra di Putrajaya hari ini.

Untuk membina semula negara, Perdana Menteri menegaskan penting untuk penjawat awam bersamanya.

Katanya, bukan bersama daripada segi fahaman politik tetapi dari segi profesionalism yang mesti ditegakkan sebagai tonggak dalam pentadbiran kerajaan.

Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November 2022 di Dataran Perdana Putra, Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim (tengah) pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan November 2022 di Dataran Perdana Putra, Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA

"Saya merayu supaya bersama-sama dalam minat, semangat untuk membawa islah, perubahan ke arah kebaikan.

"Tidak mungkin saya berjaya sekiranya tonggak perkhidmatan awam ini tidak sepenuhnya bersama saya.

"Bukan semestinya dalam erti kata jalur politik tetapi jalur perkhidmatan yang harus bebas, profesional dan terikat dengan semangat ikrar kita untuk menjadi manusia yang berguna kepada keluarga dan masyarakat," katanya.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun turut menegaskan bahawa beliau lebih cenderung menggunakan kuasa demi memanfaatkan rakyat dan bukan untuk memperkayakan keluarga mahupun kroni.

"Ini adalah pendirian yang saya sentiasa pegang dan konsisten dengan hal ini.

"Saya ingin nyatakan bahawa hidup saya bergelora, pasang surutnya tetapi suatu hal yang saya sangat konsisten ialah menggunakan kuasa untuk memanfaatkan rakyat terbanyak, bukan untuk memperkayakan dua tiga kerat keluarga atau kroni," katanya.

Menyingkap era ketika beliau dilantik sebagai Menteri Kewangan pada 1991, Anwar berkata arahan pertamanya adalah melarang keluarga atau rakan terdekat diberikan kepentingan membabitkan sebarang kelulusan projek kerajaan.

Apa yang dilakukan itu tegasnya adalah kerana kerajaan memerlukan tata kelola yang baik dan bukannya penyalahgunaan kuasa dalam kalangan pimpinan atasan sehingga berleluasa merosakkan sistem dalam pentadbiran negara.

"Rakan-rakan yang pernah tahu terutama ketika saya Menteri Kewangan. Arahan saya yang pertama adalah melarang sama sekali keluarga saya atau rakan-rakan terdekat untuk diberikan kepentingan dalam apa-apa kelulusan projek kerajaan.

"Negara ini rosak bukan kerana perkhidmatan awam. Seperti yang kita lihat contohnya MAS (Malaysia Airlines), apa masalahnya? Perkhidmatannya sangat baik, pengurusan baik, pengurus jenteranya baik.

"Yang lemah itu adalah pengurusan di atas dan akibatnya kerugian kepada ramai keluarga dan kesan kepada negara serta imej keyakinan negara," katanya.

Berita Harian X