Selasa, 29 November 2022 | 9:54am
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. - Foto BERNAMA
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. - Foto BERNAMA

Gabungan BN, PH terajui kerajaan Perak akan dipertahankan hingga akhir penggal - Saarani

KUALA LUMPUR: Gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menerajui kerajaan negeri Perak akan dipertahankan sehingga akhir penggal demi pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Justeru, beliau hairan dan tidak pasti mengapa ada pihak yang mengharapkan selepas enam bulan kerajaan ini akan runtuh.

Saarani bagaimanapun menzahirkan keyakinan dan optimis mampu mencapai kesepakatan dengan kesemua EXCO negeri itu bagi memastikan kerajaan Perak kekal hingga akhir penggal.

"Saya harap tidak ada orang yang mendoakan kerajaan (Perak) jatuh selepas enam bulan kerana kita ada agenda bagi tempoh lapan tahun untuk pembangunan negeri.

"Saya tidak pasti mengapa ada orang mengharapkan selepas enam bulan (kerajaan Perak) akan runtuh. Tak sepatutnya orang berdoa untuk lihat kerajaan runtuh. Saya yakin bila kita bersetuju, buat keputusan untuk tubuh kerajaan bersama, sudah tentu ada persefahaman yang dipersetujui," katanya pada sidang media selepas Majlis Editor bersama Menteri Besar Perak di Hotel St Regis, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman; Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Farrah Naz Karim; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Timbalan Editor Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Azhari Muhidin.

Saarani yang juga ADUN Kota Tampan berkata, persefahaman yang dimeterai melalui kerjasama dua gabungan besar itu mesti dipertahankan dengan kerjasama kedua belah pihak.

"Saya dimaklumkan siang tadi (semalam) ada mesyuarat pertama PH di Ipoh, Perak iaitu kali pertama pasca PRU15. Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa memaklumkan mereka bertekad untuk memastikan kerajaan ini (bertahan) hingga akhir penggal.

"Mereka yang lebih ramai dari BN mengharapkan ia sehingga akhir penggal, maknanya takkan berlaku sebarang perubhaan kerajaan, mereka (PH) ramai, 24 kerusi, BN ada lapan. Kalau yang 24 itu bertekad untuk sampai ke akhir penggal, takkanlah yang lapan kerusi ini tidak mahu turut sama," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan Perak bakal mewartakan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bagi memastikan kestabilan dalam kerajaan yang baru dibentuk itu, Saarani memaklumkan perkara itu bakal dibawa ke Dewan Negeri.

"Ya dalam Mesyuarat EXCO pertama, kita sudah bersetuju. Kita akan menggunakan Jadual Lapan, makanya ia akan dibawa ke Dewan Negeri dan tidak perlu dua pertiga (sokongan). Kita guna pakai apa yang diluluskan di Parlimen.

"Saya yakin ia akan dibawa ke dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan akan diluluskan," katanya.

Menyentuh mengenai pembentangan Bajet 2023 negeri Perak, beliau berkata, ia adalah belanjawan penuh bagi tahun depan.

Katanya, bajet berkenaan yang dirangka pada kerajaan lalu itu melalui proses libat urus untuk dimuktamadkan dalam Mesyuarat EXCO pertama yang diadakan minggu lalu.

Mengenai cadangan pelantikan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri

tertakluk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau merasakan dapat membantunya dalam kerajaan.

Secara peribadi, beliau tidak mempunyai masalah jika Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Mengikut Perlembagaan hanya ada jawatan Perdana Menteri manakala Timbalan Perdana Menteri dilantik secara pentadbiran.

"Jika Perdana Menteri berasa bahawa Ahli Parlimen Bagan Datuk (Ahmad Zahid) boleh dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk membantu beliau maka tiada masalah. Tiada bantahan daripada saya berhubung pelantikan itu," katanya.

Terdahulu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii dilaporkan berkata, pemilihan calon Timbalan Perdana Menteri dari BN bagi mengisi slot pentadbiran Kerajaan Perpaduan perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.

Sehubungan itu, beliau berkata, berdasarkan hierarki parti, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah calon yang perlu menggalas jawatan berkenaan.

Sementara itu mengulas mengenai Akta Antilompat Parti, Saarani berkata, dalam mesyuarat exco pertama, pihaknya sudah bersetuju dan sedang mengambil tindakan sewajarnya di mana proses sedang diikuti.

"Kita akan mengguna pakai apa yang sudah diluluskan di Parlimen...jadi saya yakin ia akan dibawa ke sidang DUN pada 19 Disember ini dan ia akan diluluskan," katanya.

Berita Harian X