KUALA LUMPUR: CUEPACS meletakkan harapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengetepikan unsur pilih kasih dan campur tangan politik dalam proses lantikan anggota perkhidmatan awam serta membabitkan hal berkaitan tata kelola kerajaan.
Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata meskipun pihaknya tiada masalah dengan lantikan sebegitu, sebolehnya ia dielakkan kerana langkah itu dikhuatiri bukan sahaja boleh merencatkan pembangunan kerjaya penjawat awam malah menjejaskan operasi perkhidmatan awam.
Dalam hal ini, beliau berkata keutamaan harus diberikan kepada pegawai dalam perkhidmatan awam yang berkelayakan mengambil kira pengalaman dan kecekapan dalam bidang masing-masing.
"CUEPACS berharap Perdana Menteri serta barisan menteri yang bakal dilantik kelak memberi keutamaan kepada penjawat awam yang berkebolehan dan kompeten sahaja untuk mengisi jawatan utama dalam perkhidmatan awam.
"Campur tangan politik dalam urusan pelantikan juga harus dielakkan bagi membolehkan mereka yang dilantik kelak benar-benar membantu dan dapat memberikan nasihat terbaik kepada jemaah Menteri.
"Ini kerana lantikan luar sudah tentu menyebabkan pembangunan kerjaya dalam perkhidmatan awam akan lebih sempit. Unsur 'favouritism' juga hendaklah dielakkan terutama hal lantikan jawatan tertinggi kerana ia boleh menjejaskan operasi perkhidmatan awam, sekiranya mereka yang dilantik itu tidak kompeten.
"Pegawai yang dilantik hanya disebabkan 'kegemaran' ahli politik tertentu dibimbangi tidak boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan, terutama dalam memberi nasihat terbaik kepada menteri berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi lantikan politik yang masih dalam perkhidmatan awam, Adnan berkata sudah pasti mereka perlu meletak jawatan dan kemungkinan akan dipaksa meletakkan jawatan apabila berlaku perubahan tampuk kerajaan.
Atas situasi itu, CUEPACS bimbang ia boleh menjejaskan perkhidmatan kerajaan selain mencetuskan persepsi kurang baik terhadap perkhidmatan kerajaan sedia ada.
"Unsur 'favouritism' dan lantikan politik harus diketepikan kerana ia boleh mengganggu keharmonian dalam perkhidmatan awam itu sendiri," katanya.
Sabtu lalu, Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri meminta Perdana Menteri memastikan sebarang campur tangan politik dapat dielak dalam proses lantikan anggota perkhidmatan awam serta pengurusan pentadbiran dan kewangan, terutamanya dalam urusan pemberian kontrak.
Presidennya, Tan Sri Abdul Halim Ali, dilaporkan berkata ia penting memandangkan penemuan audit menunjukkan ketirisan berterusan serta kerugian besar ditanggung kerajaan disebabkan campur tangan terbabit.
Beliau berkata gangguan terbabit disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi kewangan yang standard.