Isnin, 28 November 2022 | 1:21pm
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar hari ini. Foto BERNAMA
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar hari ini. Foto BERNAMA

'Wakil rakyat jangan khianati amanah' - Pemangku Raja Pahang

PEKAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan kerajaan negeri yang baharu dibentuk mengetepikan ideologi dan sentimen politik.

Baginda menitahkan kerajaan negeri supaya meletakkan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

"Kini bukan lagi masa untuk berpolitik, cukup-cukuplah. Pilihan raya telah tamat, kerajaan negeri telah dibentuk. Sekarang masa untuk bekerja," titahnya.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Dalam proses mencapai negeri maju, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bertitah, rakyat tidak mahu lagi melihat ahli politik terus berpolitik dan mencari salah.

Sebaliknya, titahnya, rakyat mahu wakil rakyat yang duduk di kerusi kerajaan untuk membawa Pahang terus maju ke hadapan.

"Bagi wakil rakyat yang berada di sebelah pembangkang, menjadi semak dan imbang dengan profesional dan matang.

"Mana dasar yang kurang baik, tegur dan berilah idea untuk untuk ditambah baik, bukanlah gah pada gelaran yang berhormat tetapi harus diingat anda menjadi wakil untuk membawa dan menyelesaikan masalah setempat.

"Betulkan niat, jangan menjadi wakil rakyat untuk mencipta kekayaan diri, untuk rasa dihormati, sedangkan amanah yang diberi langsung dikhianati," titahnya.

Berita Harian X