KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri melalui Twitter dengan pertemuan itu berlangsung di pejabatnya di Putrajaya petang ini.
"Saya juga terima kunjungan hormat dari Presiden WARISAN yang juga Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di pejabat petang ini.
"Saya mengalu-alukan komitmen beliau dan WARISAN yang menyokong usaha pembentukan dan kestabilan Kerajaan Perpaduan demi kepentingan rakyat Sabah," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri dilapor menerima kunjungan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
Kunjungan itu berlangsung sehari selepas Perdana Menteri menerima lawatan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg di Kajang, Selangor.