Ahad, 27 November 2022 | 2:37pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 di Putrajaya. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

BN sokong usul undi percaya kepada PM

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan menyokong usul undi percaya kepada Perdana Menteri supaya keabsahan jawatan dipegang Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat dimuktamadkan, sekali gus mendiamkan pihak yang cuba mempertikaikannya.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun langkah itu berisiko, ia adalah proses demokrasi yang perlu dilalui dan BN akan terus menyokong sebagai tanda menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dalam pembentukan kerajaan baharu.

Katanya, beliau yakin pelantikan Anwar yang diputuskan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berlunaskan perlembagaan negara berdasarkan peruntukan mengikut Perkara 43(2)(a) menetapkan dua syarat lantikan Perdana Menteri.

"Terdapat pelbagai proses dilakukan secara ketat bagi memenuhi kriteria itu termasuk memanggil menghadap ketua-ketua blok parti.

"Pada awalnya, BN membuat keputusan untuk menjadi pembangkang tetapi akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya, termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas dititahkan menyokong dan mengambil bahagian bagi memastikan sebuah kerajaan yang stabil serta makmur dapat dibentuk.

"Maka BN menjunjung titah dan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu dan parti kerana tidak mahu berpolitik sepanjang masa selain ingin memfokuskan masalah ekonomi rakyat," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Jelasnya, sebelum itu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bersetuju untuk menyertai Kerajaan Perpaduan atau apa-apa bentuk kerajaan lain yang dimasyhurkan Yang di-Pertuan Agong.

"Dan selepas proses-proses berkaitan dilaksanakan oleh pihak Istana Negara seperti perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berkaitan pembentukan Kerajaan Persekutuan dan pelantikan Perdana Menteri ke-10, akhirnya Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Anwar dan semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan itu.

"Tidak perlu mempertikaikan keputusan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Istana Negara dan kita sama-sama menjunjung titah serta menghormati perkenan pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan perlembagaan negara.

"Kita perlu bergerak ke depan dan bersama-sama membina negara ke arah kemakmuran dan kestabilan," katanya.

Berita Harian X