PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan dua parti politik Sabah, petang ini, untuk berbincang mengenai pengisian portfolio dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, mereka yang akan ditemuinya ialah Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, dan wakil daripada parti WARISAN.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg, dan wakil Barisan Nasional (BN) di rumahnya, semalam.
"Perbincangan dengan GPS, semalam, berlangsung dengan baik. Mereka juga mempunyai jawatankuasa kerja serta mengemukakan beberapa cadangan (nama untuk menganggotai Kabinet)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022, di Bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.