KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan satu surat dilihat menggunakan kepala surat gabungan parti politik itu yang memaparkan beberapa nama Ahli Parlimennya dikatakan bakal dilantik memegang jawatan dalam Kabinet.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dalam penafian ringkas melalui Facebook beliau, pagi ini, menegaskan surat yang tular itu adalah palsu.
"Banyak sangat berita palsu," katanya yang turut menyertakan paparan surat palsu berkenaan dalam laman Facebook beliau.
Sejak malam tadi, tular surat didakwa dikeluarkan Zambry yang antara lain mengandungi nama-nama Ahli Parlimen BN yang dikatakan akan dilantik ke Kabinet.
Ia termasuk Ahli Parlimen Rembau yang juga Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).
BH difahamkan setakat ini, BN belum memutuskan mana-mana pemimpinnya untuk mengisi beberapa jawatan dalam Kabinet, memandangkan pelantikan itu adalah prerogatif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar dijangka mengumumkan barisan Kabinetnya, minggu depan, dengan saiz Jemaah Menteri akan dikecilkan.
Perdana Menteri ke-10 yang mengangkat sumpah jawatan, Khamis lalu, sebelum ini mengumumkan akan turut melantik dua TPM daripada wakil BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Media semalam melaporkan EXCO Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata Mohamad selayaknya diangkat menjadi TPM dalam Kerajaan Perpaduan berikutan kredibilitinya diterima rakyat dan parti.
Muhamad Muqharabbin dipetik berkata, kemenangan besar Mohamad atau lebih dikenali Tok Mat di Parlimen Rembau dan pengamalan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, mampu memberi impak positif.
Bagaimanapun Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii, sebaliknya berpandangan pemilihan calon TPM daripada BN dalam Kabinet kali ini perlu dibuat berdasarkan hierarki parti.
Mohd Razlan dilaporkan berkata, keputusan mengenai pelantikan jawatan TPM itu perlu dibuat dengan 'kembali' kepada hierarki dan keputusan parti.
Justeru, Mohd Razlan berkata, berdasarkan hierarki parti, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah calon yang perlu menggalas jawatan itu.