MELAKA: Ikon fesyen dan pelakon, Wak Doyok, menolak tawaran menjual motosikal klasiknya jenis WM20 buatan British pada 1940, biarpun harga tawaran mencecah puluhan ribu ringgit.
Baginya, motosikal tentera miliknya yang digunakan ketika perang pada zaman British itu amat bernilai buat dirinya kerana model dan reka bentuk klasik jentera itu yang sukar ditemui ketika ini.
Beliau berkata, motosikal itu dibeli sekitar 1995 pada harga RM3,500 namun kini mencecah puluhan ribuan ringgit kerana nilai seni pembuatannya yang unik.
Katanya, minatnya yang mendalam kepada motosikal klasik mendorong dia menyertai perhimpunan membabitkan kenderaan berkenaan, walaupun terpaksa menunggang sendiri motosikal itu ke setiap lokasi perjumpaan.
Dia yang tinggal di Klang, berkata terkini dia bersama kira-kira 20 rakan lain dari Selangor, menyertai 3rd Malaysia Vintage and Classic Military Bike Day" di Melaka hari ini.
"Saya menerima pelbagai tawaran untuk membeli motosikal berkenaan dengan harga yang tidak masuk akal, namun buat masa ini saya tidak akan menjualnya walaupun dengan harga tinggi sekali pun.
"Ia berikutan motosikal berkenaan memiliki nilai sentimental yang tinggi kerana minat awal saya untuk menjadi tentera tetapi ayah menghalang cita-cita terbabit.
"Justeru saya kini tetap mengenakan pakaian dan motosikal perang ketika perhimpunan motosikal klasik berkenaan," katanya.
Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor, berkata dia mengambil masa beberapa jam secara santai untuk sampai ke pusat pameran di Melaka dengan menaiki motosikal berkenaan, namun amat bersyukur tidak menghadapi masalah sepanjang perjalanan terbabit.
Pameran di Melaka membabitkan lebih 150 pemilik motosokal klasik yang unik dan menarik termasuk model F - Harley Davidson, BSA B50 ,Norton 18 dan ES2, Yamaha XT 500 BSA, Ariel, Triumph, Norton, Royal Enfield, Vespa dan Lambretta selain basikal berbagai jenama.
Pelakon Abang Long Fadil 3 itu berkata, dia turut memiliki beberapa lagi motosikal lama yang dibeli sekitar kawasan perkampungan yang tersandai dan dibaik pulih semula termasuk Lambretta dan Vespa namun kini fokusnya lebih kepada motosikal BSA berkenaan.