Sabtu, 26 November 2022 | 6:02pm
Antara bendera parti yang bertanding di kawasan Parlimen Batu dilihat masih belum ditanggalkan walaupun selepas seminggu Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 berlansung. - Foto NSTP
Antara bendera parti yang bertanding di kawasan Parlimen Batu dilihat masih belum ditanggalkan walaupun selepas seminggu Pilihanraya Umum (PRU) ke-15 berlansung. - Foto NSTP

Masih ada lagi bendera parti bertanding PRU15 belum diturunkan

KUALA LUMPUR: Selepas seminggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung, masih terdapat bahan kempen pilihan raya seperti bendera parti yang bertanding masih belum diturunkan.

Tinjuan BH hari ini di sekitar ibu kota mendapati masih ada bendera parti dilihat masih berkibaran di sekitar jalan-jalan utama.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) berkata, bahan kempen yang dipamerkan atau dilekatkan hendaklah dibersihkan oleh calon ataupun ejen pilihan raya dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi.

"Jika seseorang calon atau ejen pilihan rayanya tidak mematuhi akta ini, deposit yang dibayar hendaklah dilucuthakkan dan dibayar kepada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan. Pengarah Pilihan Raya Negeri akan membersihkan bahan kempen dengan menggunakan wang deposit yang dilucuthakkan.

"Jika kos pembersihan bahan kempen melebihi deposit yang dibayar oleh calon, bakinya akan menjadi hutang dan calon mesti membayarnya kepada kerajaan," katanya.

Bahan kempen yang dipasang semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu perlu diturunkan sebelum 3 Disember ini, iaitu tempoh dua minggu diberikan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada parti yang bertanding untuk membersihkan bahan kempen tersebut sejurus PRU15 tamat.

Orang ramai bimbang bahan kempen pilihan raya itu jika tidak diturunkan boleh menimbulkan risiko keselamatan memandangkan lokasi tumpuan bahan kempen dipasang adalah di sekitar persimpangan utama jalan, bulatan, bahu jalan dan kawasan perumahan.

Pekerja Swasta, Muhammad Azam Ramlee, 22 berkata ada bendera parti yang bertanding jatuh dan koyak di jalan raya, sekali gus menjejaskan pemandangan dan boleh membahayakan keselamatan pengguna yang berulang alik di kawasan itu.

"Kebanyakan bendera kempen tidak dipasang dengan strategik. Akibatnya menjejaskan pemandangan. Walaupun ada bendera yang dipasang dengan cantik, selepas PRU15 bendera tersebut sudah semakin lusuh. Bagi saya ia mencacatkan pemandangan.

"Selain itu, saya juga pernah hampir terbabas disebabkan bendera kempen ini. Ketika pulang daripada kerja, bendera yang dipasang di antara pembahagi jalan berkibar, Saya cuba mengelak tetapi hampir terbabas. Sekiranya perkara ini terjadi kepada penunggang motorsikal yang tidak peka, tidak mustahil kemalangan boleh berlaku," katanya.

Pekerja swasta, Raja Mustaqim Raja Yusoff, 22 pula berpandangan, bahan kempen pilihan raya perlu segera diturunkan oleh parti yang berkaitan.

"Lebih baik bahan kempen ini diturunkan, dibersihkan dan disimpan untuk berkempen pada masa akan datang. Perkara ini dapat menjimatkan perbelanjaan parti yang akan akan bertanding pada masa hadapan.

"Lagipun bendera yang dipasang banyak diletakkan di kawasan yang mengehadkan penglihatan pemandu terutamanya di simpang empat. Jika bendera ini tidak mahu dikitar semula, lebih baik dilupuskan sahaja sebelum menjadi satu punca kemalangan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) berkata, bahan kempen yang dipamerkan atau dilekatkan hendaklah dibersihkan oleh calon ataupun ejen pilihan raya dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi.

Berita Harian X