PUTRAJAYA: Parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan tidak wajar membuat rundingan meminta jawatan tertentu dalam kerajaan.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata ini kerana penentuan pemberian jawatan dalam Kabinet adalah terpulang kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, parti lain termasuk juga MIC yang sebahagian komponen Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan pembentukan kerajaan atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Kerajaan Perpaduan dibentuk.
"Dalam politik ini, kita memberi sokongan kepada sesuatu pihak berdasarkan keputusan dalam perundingan, tetapi masalah sekarang bukan perundingan atau siapa bagi tawaran paling terbaik.
"Ini adalah berdasarkan titah Tuanku, bila semua sudah bersetuju untuk beri sokongan (Kerajaan Perpaduan), maka tidak boleh ada barang sesiapa yang boleh minta jawatan yang mereka hendak," katanya kepada BH hari ini.
Beliau menegaskan, ia bukan soal menuntut atau meminta jawatan bagi parti tertentu, sebaliknya tidak boleh ada rundingan kerana menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
"Meminta dan menuntut dua perkara berbeza, kalau mereka nak beri juga kepada MIC atau BN kerana hendak mewujudkan kerajaan seperti mana titah Tuanku, itu terpulang pada mereka.
"Kita kalau nak menuntut, agak malu sikitlah.. kita tolong untuk kebaikan negara, untuk sebuah kerajaan, supaya tiada masalah dalam memerintah
"Tapi tidak tahulah pendirian UMNO, kalau nak jawatan tertentu itu terpulang kepada mereka, tetapi buat masa sekarang BN tiada keputusan pun untuk ambil jawatan.
Kita menerima titah Tuanku kerana memang itu amalan BN selama 60 tahun," katanya.
Vigneswaran yang menjadi calon BN di Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu tewas kepada penyandang kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH) S Kesavan.
Daripada 30 kerusi yang dimenangi BN, MIC memenangi satu kerusi di Parlimen Tapah yang kekal milik penyandang yang juga Timbalan Presiden, Datuk Seri M Saravanan.
Semalam, Perdana Menteri memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.
Anwar juga tidak menolak kemungkinan memegang portfolio Menteri Kewangan untuk mengecilkan saiz Kabinet, namun memaklumkan perlu meneliti segala kemungkinan dalam mempertimbang dan memutuskan pelantikan anggota Kabinet.