Sabtu, 26 November 2022 | 2:37pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra semalam. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) beramah mesra bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali pada hari pertama beliau memulakan tugas secara rasmi di Bangunan Perdana Putra semalam. - Foto ihsan Pejabat Perdana Menteri

Surat terbuka kepada PM: Elak campur tangan politik lantik anggota kerajaan, pemberian kontrak

PUTRAJAYA: Kerajaan baharu diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta memastikan sebarang campur tangan politik dapat dielak dalam proses lantikan anggota perkhidmatan awam serta pengurusan pentadbiran dan kewangan, terutamanya dalam urusan pemberian kontrak

Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri berkata, ia penting memandangkan penemuan audit menunjukkan ketirisan berterusan serta kerugian besar ditanggung kerajaan disebabkan campur tangan terbabit.

Presidennya, Tan Sri Abdul Halim Ali, berkata gangguan terbabit disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi kewangan yang standard.

"Dalam hal ini, semua Ketua Setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah dibenarkan untuk mengurus fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai pegawai pengawal sewajarnya mengikut peraturan dan prosedur serta tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Sehubungan itu adalah mustahak untuk kerajaan menggubal Akta Perkhidmatan Awam, seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang profesional dengan persempadanan fungsi, bidang kuasa dan tanggungjawab jelas antara pihak pentadbiran dan perkhidmatan awam," katanya.

Abdul Halim turut menggariskan tiga tindakan dipercayai Alumni PTD perlu diambil untuk memastikan kejayaan dalam menguruskan pemulihan ekonomi terutama kerjasama antara pentadbiran dan perkhidmatan awam.

Katanya, kerjasama ini perlu dalam menangani isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, hutang negara yang meningkat serta keperluan menambah hasil pendapatan bagi menampung perbelanjaan mengurus

"Pihak pentadbiran dan perkhidmatan awam juga perlu lebih serius terhadap keperluan penjimatan, malah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam perlu kekal menjadi keutamaan," katanya.

Untuk memastikan perkhidmatan awam menjadi cekap dan berkesan dalam meningkatkan sistem penyampaian, beliau berkata penting untuk memastikan ia mempunyai kapasiti, keupayaan dan keyakinan untuk berkhidmat dengan baik bagi kerajaan semasa.

"Tidak kurang penting juga bagi anggota perkhidmatan awam diberi keyakinan bahawa mereka dipercayai dan disokong pihak pentadbiran dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan profesional

"Untuk tujuan ini pentadbiran dan perkhidmatan awam harus berusaha memperkukuh tadbir urus yang baik melalui kajian semula Perintah Am, Arahan Kewangan dan peraturan lain berdasarkan semangat bersih, cekap dan amanah.

"Setiap anggota perkhidmatan awam mestilah mengangkat sumpah perkhidmatan sebagai bukti komitmen mereka terhadap tadbir urus yang baik dan berintegriti dalam memberi khidmat kepada negara

"Perlu adanya komitmen menyeluruh pentadbiran dan perkhidmatan awam untuk memerangi rasuah yang menjadi kebimbangan serius kalangan rakyat," katanya.

Abdul Halim menambah, Alumni PTD juga menggesa kerajaan melaksanakan kajian semula institusi dan organisasi yang menyeluruh terhadap perkhidmatan awam, memandangkan perubahan teknologi yang pesat, revolusi digital dan megatrend global.

"Terdapat juga keperluan untuk mengkaji semula pakej imbuhan dan emolumen bagi anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam supaya dapat dipastikan setara dengan pekerjaan, kelayakan, prestasi dan kemampuan," katanya.

Berita Harian X