Jumaat, 25 November 2022 | 10:57pm
Sekeping gambar Muhyiddin memeluk isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dikongsi menerusi halaman Facebook beliau malam ini. - Foto NSTP/Ihsan FB Muhyddin Yassin
Sekeping gambar Muhyiddin memeluk isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang dikongsi menerusi halaman Facebook beliau malam ini. - Foto NSTP/Ihsan FB Muhyddin Yassin

Perjuangan ini tidak akan terhenti - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Biarpun Perikatan Nasional (PN) kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sehingga gagal membentuk Kerajaan Persekutuan, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'angkatan' gabungan parti itu supaya tidak meratapi kegagalan.

Bekas Perdana Menteri itu sebaliknya mengajak semua ahli bergerak ke hadapan menghadapi setiap ujian yang menimpa.

Beliau menggesa setiap ahli supaya terus menyemarakkan api perjuangan agar tidak terpadam, dengan menggembleng kesabaran dan berpegang teguh kepada setiap amanah serta tanggungjawab demi agama dan bangsa.

Sebagai insan kerdil, katanya, beliau mengakui sebak mengenangkan sokongan tidak berbelah bahagi oleh rakyat terhadapnya dalam perjuangan ini, namun tetap bersyukur dengan nasib yang perlu dihadapi sambil meletakkan harapan bahawa akan ada `sinar di hujung jalan' suatu hari nanti.

"Di saat memeluk isteri saya ini, saya bukan sahaja berasa tenangnya hati, lapangnya dada, reda takdir Ilahi. Terngiang-ngiang laungan sokongan daripada anda semua ketika berkempen, dan komen-komen sokongan saudara saudari rakyat yang saya kasihi di media sosial.

"Saya tahu saya bukan sendiri. Bersama dengan saya adanya saudara dan saudari yang kekal berdiri. Memapah saya agar terus berjalan dan berlari di landasan perjuangan ini.

"Saya insafi, perjuangan ini bukan milik saya. Perjuangan ini milik kita bersama, rakyat Malaysia. Perjuangan murni yang didasari tekad menyelamatkan negara. Perjuangan demi kedaulatan agama, bangsa dan negara kita.

"Usah kita bersedih hati. Sudah tentu jalan ini jalan yang sukar. Jalan ini jalan yang panjang. Kita tidak akan berhenti dari terus berjalan dek kerana ujian yang melanda," katanya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Dengan apa yang terjadi ketika ini, Muhyiddin memujuk diri sendiri bahawa perjalanan ini tidak terhenti, bahkan yakin masih terdapat ruang dan peluang untuk diperbaiki.

Justeru, beliau tetap akan mencurahkan khidmat bakti untuk rakyat dan negara tidak kiralah atas kapasiti apa sekalipun.

"Pujuklah hati, bahawa esok hari masih ada. Kita bina Malaysia yang lebih baik dengan setiap kudrat yang ada, dalam apa jua kapasiti kita sekalipun. Ingatlah, Malaysia itu milik kita semua bersama.

"Moga saudara saudari, sentiasa berada di dalam lindungan Allah SWT dan semoga perjuangan kita semua diredhai Yang Maha Esa.

"Terima kasih semua rakyat Malaysia. Ikhlas daripada saya, Muhyiddin Yassin. Kekal berjuang," katanya.

Berita Harian X