SEREMBAN: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan boleh diketengahkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri yang akan mewakili gabungan itu dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata Mohamad yang juga Timbalan Presiden dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan mempunyai ketokohan untuk dilantik ke jawatan berkenaan.
"Tok Mat (Mohamad Hasan) adalah antara tokoh yang boleh UMNO ketengahkan (menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri), tapi kuasa pelantikan masih di bawah kuasa parti.
"Kita sedia maklum perkara pelantikan berkenaan adalah ketua parti yang menentukan siapa Timbalan Perdana Menteri jika tempat itu diberikan kepada UMNO.
"Kita serahkan kepada parti, namun UMNO pun ramai calon yang berkelayakan. Tapi, secara peribadi sebagai orang Negeri Sembilan, sudah tentu sokong beliau (Tok Mat)," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.
Media hari ini melaporkan, BN menyerahkan kepada pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan calon Timbalan Perdana Menteri, yang akan mewakili gabungan itu dalam Kabinet kerajaan perpaduan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dilaporkan berkata, isu berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum ini, namun tiada nama tertentu yang disebut bagi mengisi jawatan terbabit.
Pada sidang media selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan di bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.
Anwar berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Mengulas lanjut, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) dan Ahli Parlimen Port Dickson berkata ramai kalangan pemimpin dalam UMNO yang berpotensi untuk menjawat jawatan berkenaan.
Beliau berkata, selain dari segi ketokohan yang dimiliki mereka juga mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran.