KUALA LUMPUR: Sokongan luar biasa rakyat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), membuktikan aspirasi perjuangan, jenama dan hala tuju parti itu diterima baik semua lapisan masyarakat terutama golongan muda, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, PN percaya penyokong dan jentera parti akan terus istiqamah berpegang teguh kepada asas perjuangan parti demi masa depan Malaysia yang lebih baik.
"Bergerak ke hadapan, semua pihak perlu cekal dan ikhlas meneruskan perjuangan melalui wadah PN walau apapun rintangan dan cabaran pasca PRU15," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah memaklumkan bahawa Pengerusi, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bersama barisan pimpinan tertinggi gabungan parti politik itu turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakyat yang mengundi dan memberi sokongan kepada PN pada PRU15.
"Ucapan terima kasih tidak terhingga juga diucapkan khusus kepada petugas serta jentera parti PN di seluruh negara yang bertungkus lumus bekerja keras menentukan kemenangan di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
"Pimpinan tertinggi PN mendoakan kesejahteraan semua pihak yang memberikan sokongan dan dukungan kepada PN. Semoga Allah SWT merahmati serta memberkati perjuangan kita semua," katanya.
Pada PRU15, PN berjaya memenangi 73 kerusi Parlimen, selain 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dan Pahang (17), serta berjaya membentuk kerajaan negeri di Perlis selepas membolot 14 daripada 15 kerusi DUN dipertandingkan.