KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10, dan pada masa sama menegaskan gabungan parti politik itu akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dengan membawa suara rakyat selaras prinsip demokrasi berparlimen.
"Bergerak ke hadapan, PN akan meneruskan perjuangan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara berpandukan prinsip 'Prihatin, Bersih dan Stabil'," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.
Terdahulu, sebuah kenderaan tanpa pengiring dipercayai membawa Ahli Parlimen Pagoh itu dilihat keluar dari kediaman beliau di Bukit Damansara, di sini, kira-kira jam 12.50 tengah hari tadi.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memperkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada sebelah pagi. Anwar kemudian mengangkat sumpah di Istana Negara pada sebelah petang.
Namun Muhyiddin pada sidang media, semalam, berkata Anwar wajar mengemukakan bukti bahawa beliau sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk memegang jawatan itu.
Anwar pada sidang media, malam tadi, berkata sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Disember depan bagi membentangkan antara lain usul percaya kepada Perdana Menteri.
Seterusnya pada sidang media hari ini pula, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan pimpinannya telah mencapai majoriti dua per tiga melalui penyertaan terkini oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Perdana Menteri dilaporkan berkata, perkara itu dimaklumkan kepada beliau oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.