PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya akan memiliki saiz Kabinet yang lebih kecil.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, pihaknya juga akan mengusulkan supaya gaji menteri dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan nanti dikurangkan susulan perkembangan situasi ekonomi kini.
"Saiz Kabinet kecil dan saya minta supaya ahli Kabinet baharu bersetuju dengan usul saya untuk kurangkan gaji mereka.
"Tapi ini dalam proses perbincangan dan persiapan," katanya pada sidang media, di sini.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lebih lanjut mengenai saiz Kabinet kecil dimaksudkannya itu termasuk dari segi bilangan kementerian atau menteri.
Isu saiz Kabinet menjadi bualan mengambil kira kerajaan Keluarga Malaysia diterajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini yang dilihat terlalu besar membabitkan 31 menteri termasuk empat menteri kanan sebagai pasukan pengurusan yang bekerja bersama rakyat, selain 38 timbalan menteri.
Malah, Ismail Sabri turut menyatakan komitmen untuk mengecilkan saiz Kabinet beliau apabila menerajui kerajaan sekiranya mendapat mandat baharu melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti komponen Kerajaan Perpaduan mengenai soal pembentukan Kabinet yang mana mereka akan mengusulkan nama yang diperlukan.
Sejurus itu, katanya, beliau akan memberi pertimbangan berdasarkan nama diusulkan parti masing-masing.
"Kita kena faham bahawa Kerajaan Perpaduan bermakna seorang Perdana Menteri harus merujuk parti masing-masing dan (parti terbabit) akan mengusulkan nama.
"Saya harus memberikan pertimbangan sedemikian," katanya.
Ketika ditanya mengenai jangka masa diperlukan untuk membentuk Kabinet, Anwar bagaimanapun berkata ia akan diselesaikan sesegera mungkin.
Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR tiba di Bangunan Perdana Putra, di sini, bagi memulakan tugasnya secara rasmi di Pejabat Perdana Menteri.
Beliau tiba di sini jam 9.52 pagi dengan menaiki kenderaan jenis BMW hitam diiringi beberapa kenderaan pengiring polis.
Ketibaan Anwar yang mengenakan baju Melayu lengkap bersamping, selain memakai capal itu disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.