KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menentukan calon Timbalan Perdana Menteri yang akan mewakili gabungan itu dalam Kabinet kerajaan perpaduan.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, berkata meskipun isu berhubung jawatan Timbalan Perdana Menteri itu ada dibincangkan pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN sebelum ini, tiada nama tertentu disebut bagi mengisi jawatan terbabit pada mesyuarat berkenaan.
"Kita ada bincang jawatan itu, namun siapa calonnya belum ditetapkan lagi...terpulang kepada pengerusi (Ahmad Zahid) kerana mandat diberikan kepada pengerusi.
"Kita hanya bincang jawatan itu, tiada siapa nama yang disebut," katanya kepada BH, di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selepas kemelut pelantikan Perdana Menteri berlarutan selama lima hari susulan tiada gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Presiden PKR itu akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam.
Anwar akan memimpin kerajaan perpaduan yang sehingga kini dianggotai oleh BN dan GPS, namun Perdana Menteri ke-10 itu turut menjemput gabungan serta parti politik lain termasuk Perikatan Nasional (PN) untuk menyertai pentadbiran berkenaan.