KUALA LUMPUR: Pengerusi Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Ucapan itu menyusul sehari selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
"Saya ucap tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10. Selamat maju jaya," katanya ringkas melalui Twitter.
Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.