KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyifatkan pembentangan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Disember ini akan memuktamadkan sebarang kesangsian mengenai keabsahan , Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai teraju kerajaan baharu pimpinannya.
Mengalu-alukan langkah itu, Pengerusi BERSIH, Thomas Fann, berkata ia adalah tindakan duluan yang perlu dilakukan mana-mana Perdana Menteri bagi membuktikan sokongan majoriti di Parlimen.
Ia juga, katanya mengambil kira rekod sejarah Langkah Sheraton pada 2020 sehingga membawa kepada keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas berkuasa selama 22 bulan.
"Ia sangat penting kerana pemilihan atau pelantikan berjalan sengit seperti mana yang kita saksikan sebelum ini," katanya seperti yang dilaporkan FMT.
Thomas bagaimanapun tidak menafikan usul itu juga mungkin menjadi langkah berisiko buat Anwar, mengambil kira Pengerusi PH itu perlu bergantung kepada parti di luar gabungannya untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti dalam kerajaan perpaduan.
"Apa pun, saya percaya Anwar sudah pun menandatangani perjanjian gabungan atau perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan blok lain," katanya.
Pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri malam tadi, Anwar memaklumkan pembentangan usul undi percaya adalah antara agenda sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember ini.
Katanya, usul percaya itu bakal membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadapnya, sekali gus memperkukuh kestabilan kerajaan perpaduan, yang merangkumi PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, selepas perbincangan khas dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada sebelah lagi.
Anwar kemudian mengangkat sumpah di Istana Negara pada sebelah petang.
Bagaimanapun, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sidang medianya semalam menyatakan, Anwar wajar mengemukakan bukti yang beliau sebagai Pengerusi PH mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjawat jawatan itu.