Jumaat, 25 November 2022 | 10:35am

Pemimpin, tokoh dunia ucap tahniah kepada Anwar PM10

KUALA LUMPUR: Selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 jam 5 petang semalam, ucapan tahniah mencurah-curah datang sejak malam tadi daripada kalangan pemimpin dan tokoh terkemuka dunia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi menjadi ketua negara pertama yang menghubungi Anwar Ibrahim dan mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar berkongsi perkembangan itu di Facebook, dengan menggambarkan hubungan Malaysia dan Indonesia sebagai sahabat sejati yang terjalin sejak sekian lama.

"Terima kasih Presiden Indonesia, Bapak Joko Widodo, yang menjadi kepala negara pertama yang menghubungi saya mengucapkan tahniah.

"Saya tegaskan Indonesia adalah sahabat sejati Malaysia dan saya mengharapkan hubungan perdagangan, perniagaan, pelaburan, budaya dan isu pekerja dapat dipertingkatkan. Persahabatan kedua-dua semestinya diperkukuh," katanya.

Sepanjang malam tadi, pemimpin-pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Anwar, sebahagian besarnya menerusi media sosial termasuk Twitter.

Antaranya Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony J Blinken dalam ucapannya pula berkata dia teruja untuk hubungan yang lebih erat dengan Malaysia, berdasarkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang yang dikongsi bersama.

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan Malaysia ke arah wilayah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, berhubung, makmur, selamat dan berdaya tahan," katanya.

Pemimpin Buddha, Dalai Lama berkata dia juga telah mengirimkan surat ucapan tahniah kepada Anwar.

"Ini adalah era yang sangat mencabar. Harapan saya adalah agar Malaysia terus makmur dan memberi sumbangan signifikan terhadap kestabilan dan keamanan di dunia yang kian saling berhubung.

"Saya doakan anda berjaya mendepani cabaran yang menunggu di depan dalam memenuhi harapan dan aspirasi rakyat Malaysia," kata Dalai Lama.

Pelawak Amerika Syarikat yang berasal dari Johor, Ronny Chieng pula berkongsi berita itu dengan emoji di Twitter.

Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah melambai kepada media ketika tiba di Istana Negara semalam. - Foto AP
Anwar Ibrahim bersama isteri, Datin Seri Wan Azizah melambai kepada media ketika tiba di Istana Negara semalam. - Foto AP
Berita Harian X