Khamis, 24 November 2022 | 11:09pm
Anggota APM Padang Terap melakukan pemantauan di Sungai Padang Terap, yang kini sudah melepasi paras bahaya. - Foto ihsan APM
Anggota APM Padang Terap melakukan pemantauan di Sungai Padang Terap, yang kini sudah melepasi paras bahaya. - Foto ihsan APM

Sungai Padang Terap melepasi paras bahaya

PADANG TERAP: Paras air Sungai Padang Terap di Kampung Kubu, di daerah ini, melepasi paras bahaya setakat jam 10 malam ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Roshidi Kassim, berkata paras air Sungai Perik turut menunjukkan paras berwaspada, manakala paras air Sungai Padang Sanai masih terkawal.

Berikutan itu, beliau menasihati penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya mengambil langkah berjaga-jaga atau menghubungi pasukan penyelamat jika kediaman mereka dinaiki air.

"Tiada kejadian banjir dilaporkan berlaku di daerah ini setakat ini, namun anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap kini dalam keadaan bersiap siaga jika ada rumah penduduk dinaiki air atau berlaku hujan lebat," katanya.

Sementara itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan, Sungai Anak Bukit di Taman Aman di Alor Setar sudah melepasi paras waspada setakat jam 10 malam ini.

Sehubungan itu, penduduk di kawasan berhampiran dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kemungkinan berlakunya banjir kilat.

Berita Harian X