Khamis, 24 November 2022 | 10:41pm

Kerajaan bentang bajet mini untuk gaji kakitangan awam 19 Disember ini

KAJANG: Kerajaan akan membentang rang undang-undang (RUU) belanjawan mini pada 19 Disember depan bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya gaji penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kelulusan emolumen itu penting bagi memastikan tiada kebimbangan dalam kalangan penjawat awam berhubung gaji, berikutan Bajet 2023 masih belum diluluskan.

Selepas kelulusan RUU mini itu, beliau memaklumkan kerajaan dijangka membentangkan belanjawan susulan yang menyeluruh, kira-kira sebulan selepas sidang Parlimen berkenaan.

"Untuk bajet, kita perlu luluskan emolumen terlebih dahulu pada 19 Disember, supaya penjawat awam kita tidak bimbang.

"Selepas itu, dalam kira-kira sebulan kemudian, kita akan bentangkan semakan bajet (Bajet 2023 yang menyeluruh)," katanya pada sidang media pertamanya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Ke-10 di sini, hari ini.

Sebelum ini, bekas Menteri Kewangan di bawah pimpinan kerajaan lalu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, membentangkan Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, bajet itu tidak sempat untuk dibahas dan dilukluskan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Susulan pembubaran Parlimen, Bajet 2023 perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat secepat mungkin, bagi memastikan belanjawan mengurus kerajaan awal tahun depan diluluskan.

Sementara itu, Anwar juga berkata beliau akan mengotakan janjinya untuk tidak mengambil gaji Perdana Menteri.

"Saya telah umum (ketika kempen PRU15) langkah pertama untuk memulihkan keyakinan rakyat supaya tidak melihat menteri dan pemimpin, tanpa kira parti agama, hanya fikir gaji, kepentingan, kontrak dan saham, maka saya memilih menolak gaji Perdana Menteri," katanya.

Berita Harian X