KUALA LUMPUR: Sidang Dewan Rakyat akan diadakan pada 19 Disember ini bagi membentangkan antara lain usul percaya kepada Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata agenda lain ialah majlis mengangkat sumpah semua Ahli Parlimen.
Jelasnya, usul percaya itu bakal membuktikan keabsahan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat terhadapnya, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan, yang merangkumi Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Warisan (WARISAN), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.
"Saya nyatakan kesediaan rakan-rakan (untuk mendukung Kerajaan Perpaduan), termasuk daripada Perikatan Nasional (PN), walaupun kenyataan pengerusinya pada peringkat awal tak begitu memberangsangkan.
"Iaitu mempertikaikan keabsahan dan jumlah kita (sokongan majoriti). Beliau juga nyatakan harus ada kesediaan untuk Kerajaan Perpaduan ini menguji kekuatan di Parlimen.
"Saya ingin jelaskan bahawa kita sudah tetapkan untuk mengadakan sidang Parlimen pertama pada 19 Disember ini, dan usul pertama selain angkat sumpah, ialah usul daripada kerajaan berhubung undi percaya kepada Perdana Menteri.
"Dengan ketatapan ini, tidak timbul keresahan tentang keabsahan sokongan yang ada," katanya dalam sidang media pertamanya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 di sini, hari ini.