Khamis, 24 November 2022 | 9:14pm

Rara tak sabar nak gubal dasar di Parlimen bersama Anwar

KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama berkorban serta menempuh onak dan duri, pengorbanan Datuk Seri Anwar Ibrahim membuahkan hasil apabila beliau dilantik Perdana Menteri ke-10.

Sambil merakamkan ucapan tahniah atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Ke-10, Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, mengakui tidak sabar untuk bersama Pengerusi Pakatan Harapan itu di Dewan Rakyat.

"Selepas sekian lama Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi onak dan duri, akhirnya pengorbanan beliau membuahkan hasil.

"Saya tidak sabar untuk bersama-sama beliau di Dewan Rakyat menggubal polisi dan mengadakan reformasi demi rakyat Malaysia tercinta," katanya menerusi hantaran di Twitter.

Dalam pada itu beliau, mengatakan gembira dan teruja kerana Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Pelantikan Ahli Parlimen Tambun itu selaras dengan kuasa Al-Sultan Abdullahyang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi; Barisan Nasional (30); Gabungan Parti Sarawak (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui PH.

Berita Harian X