KULIM: Calon WARISAN bagi Parlimen Padang Serai, Mohd Bakhri Hashim masih sah bertanding walaupun parti itu memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding di kerusi berkenaan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah, berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan WARISAN berhubung pencalonan Bakhri.
"Bagi kami, beliau masih secara rasmi menjadi calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
"Peraturan pilihan raya SPR jelas menyatakan bahawa calon tidak boleh menarik balik pencalonannya selepas pencalonannya diluluskan secara rasmi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bari berkata, nama kesemua enam calon yang diumumkan semasa proses penamaan calon akan tertera pada kertas undi.
"Malah, selepas selesai proses penamaan calon pagi tadi, SPR sudah menyerahkan senarai nama itu kepada pencetak.
"Saya rasa proses pencetakan kertas undi akan dilakukan pada petang ini," katanya.
Bari berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai keputusan WARISAN menarik diri daripada bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
BERNAMA melaporkan Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua Jr berkata, parti itu sudah memaklumkan kepada SPR berhubung keputusan itu.
Bagaimanapun, katanya, logo WARISAN kekal dalam kertas undi kerana parti itu sebelum ini memfailkan pencalonan untuk pengundian pada 5 November lalu.
Bakhri, yang tidak hadir di pusat penamaan calon hari ini, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Media melaporkan baru-baru ini bahawa Bakhri berkata, status pencalonannya akan diputuskan oleh kepemimpinan parti yang berpangkalan di Sabah berdasarkan keputusan keputusan PRU15 pada Sabtu dan pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu.
PRU-15 Parlimen Padang Serai menyaksikan pertempuran enam penjuru di antara Bakhri dan Mohamad Sofee Razak mewakili Pakatan Harapan (PN), Datuk Sivarraajh Chandran (Barisan Nasional), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abdul Rahman (Parti Pejuang Tanah Air); dan Sreanandha Rao (Bebas).
Kerusi Parlimen Padang Serai sebelum ini disandang M Karupaiya apabila memperoleh kemenangan majoriti 8,813, menewaskan calon MCA Datuk Dr Leong Yong Kong dan Mohammad Sobri Osman daripada PAS pada PRU-14.
Karupaiya, 69, dicalonkan sekali lagi oleh PH untuk mempertahankan kerusi itu pada hari penamaan calon 5 Nov.
Bagaimanapun, Karupaiya meninggal dunia pada 16 November iaitu dua hari selepas dimasukkan ke Hospital Kulim akibat serangan jantung ketika berkempen.
Parlimen Padang Serai mempunyai 133,767 pengundi yang layak, dengan 81,230 pengundi ketika itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas manakala bakinya 52,546 pengundi di DUN Merbau Pulas.