Khamis, 24 November 2022 | 5:22pm
 Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat
Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat

Bincang dulu sebelum kecilkan saiz Kabinet - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mengadakan perbincangan terlebih dulu dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian berhubung komitmen Pakatan Harapan (PH) untuk mengecilkan saiz Kabinet atau jumlah menteri.

Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, berkata perbincangan bersama ini perlu dilakukan bagi mengelak kesan negatif kepada jentera pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, langkah itu perlu supaya sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terkesan sehingga menyebabkan nama baik penjawat awam tercemar.

"CUEPACS juga tidak mahu keputusan terburu-buru dilakukan supaya dasar semasa yang sedang dilaksanakan oleh penjawat awam tidak terganggu kerana ia boleh menyebabkan pencapaian atau sesetengah dasar itu tergantung dan tidak dapat mencapai hasil diingini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Adnan berkata, perkara ini bukan saja merugikan rakyat secara langsung, tetapi turut memberi kesan kepada sumber kewangan negara yang sudah dibelanjakan sebelum ini.

"Apabila dasar atau program pembangunan itu diaudit, sudah tentu akan menerima teguran daripada Jabatan Audit Negara kerana ia tergantung atau tidak dapat diteruskan disebabkan perubahan kerajaan.

"Justeru, adalah penting bagi setiap kerajaan yang memerintah mengadakan perbincangan dengan KSN dan semua KSU bagi memastikan segala dasar yang baik dan memberi manfaat kepada rakyat tidak dibuang begitu saja hanya disebabkan mahu mengurangkan saiz Kabinet semata-mata," katanya.

Sementara itu, Adnan berkata, CUEPACS menzahirkan setinggi penghargaan dan atas pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

"Kita berharap kepimpinan Anwar mampu membawa negara kembali stabil dan bergerak maju bagi menghadapi situasi ekonomi yang semakin mencabar.

"Kami juga berharap Perdana Menteri dapat mengekalkan keharmonian dalam perkhidmatan awam supaya sistem penyampaian kepada rakyat boleh diperkasakan lagi.

"CUEPACS yakin kestabilan dalam pentadbiran kerajaan mampu meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dan ekonomi supaya negara mampu mendepani cabaran yang mendatang.

"Penjawat awam akan terus berkhidmat dengan penuh profesional bagi memastikan dasar dan polisi dirancang kerajaan dapat dinikmati rakyat," katanya.

Berita Harian X