Khamis, 24 November 2022 | 5:15pm

Muhyiddin mahu Anwar buktikan keabsahan sebagai PM10

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengemukakan bukti yang beliau sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk menjawat jawatan itu.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata perkara itu perlu dilakukan Anwar demi keyakinan rakyat terhadap keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

"Ini hendaklah dibuktikan melalui proses yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Rakyat (Tan Sri Azhar Azizan Harun) dalam surat bertarikh 20 November 2022, iaitu dengan mengemukakan surat-surat akuan berkanun (SD) majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan kepimpinan tertinggi PN.

Muhyiddin turut memperincikan 115 Ahli Dewan Rakyat, yang memberi sokongan kepada beliau melalui SD seperti yang dinyatakannya kelmarin.

Mereka terdiri daripada 73 Ahli Dewan Rakyat daripada PN, termasuk 22 Ahli Dewan yang bertanding menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu, 22 Ahli Dewan Rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan enam daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain itu, seorang Ahli Dewan Rakyat Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), 10 daripada Barisan Nasional (BN) dan dua daripada BEBAS.

"Semua dokumen ini dihantar ke Istana Negara pada jam 1.28 petang pada 21 November 2022, iaitu sebelum masa akhir yang ditentukan untuk parti menghantar dokumen berkaitan ke Istana Negara seperti yang dikehendaki Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong sudah mengeluarkan surat kepada Setiausaha Agung PN (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) pada hari yang sama, mengesahkan penerimaan SD ini.

"Saya percaya pada masa itu, saya mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10," katanya.

Ditanya sama ada PN akan mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen jika Anwar gagal mengemukakan SD yang membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin berkata, beliau akan memberi peluang itu terlebih dahulu.

"Kalau beliau boleh buktikan kerana disebut di sini, mesti adanya SD. Kami di PN mengikut arahan Yang Dipertua (Dewan Rakyat), kalau ada Ahli Parlimen yang hendak beri sokongan, mestilah disokong dengan SD, bukan surat dari langit ke, mana-mana ke, atau pun parti-parti tertentu, itu semua tak boleh pakai mengikut pandangan sayalah.

"Kalau hari itu, saya hantar (dokumen) ada 115 nama saja tapi orang berkenaan tidak menghantar surat sokongan, mungkin Istana Negara akan tolak kerana itu arahan daripada Speaker," katanya.

Muhyiddin turut memaklumkan, beliau tidak tahu mengenai 10 SD yang dikatakan ditarik kembali oleh Ahli Dewan Rakyat BN.

Mengenai kenyataan Hamzah pagi tadi bahawa PN bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan, yang membabitkan perbincangan dengan parti yang sehaluan dengan PN, Muhyiddin berkata, kenyataan beliau tiada kaitan dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

"Kita beri maklum balas kepada kenyataan Istana Negara (mengenai pelantikan Anwar), jadi (kenyataan) tidak sebut soal itu.

"Kenyataan Istana Negara, saya baca berkali-kali, tiada kaitan dengan Kerajaan Perpaduan, hanya pelantikan Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Ibupejabat Perikatan Nasional, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di Ibupejabat Perikatan Nasional, Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X