Khamis, 24 November 2022 | 4:47pm
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

3 Sasterawan Negara menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia

KUALA LUMPUR: Tiga Sasterawan Negara (SN) dinobatkan sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2019/2020 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

SN Muhammad Salleh diumumkan sebagai pemenang kategori buku (puisi) menerusi kumpulan puisinya, Sebuah Lembah Kunamakan Tanah Air; SN Datuk Seri A Samad Said memenangi kategori puisi eceran menerusi puisinya, Merindui Buku, manakala Allahyarham Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) memenangi kategori drama eceran menerusi 'Hablur.'

Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof itu turut mencuri tumpuan apabila beberapa penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) turut dinamakan sebagai pemenang.

Antaranya Penerima SEA Write 2013, Allahyarham Mohamed Ghozali Abdul Rashid (Malim Ghozali PK) memenangi tiga kategori, iaitu novel menerusi Gunung Cha; cerpen eceran untuk karya Perahu Tua Teras Bitanggor dan puisi eceran, Kubiarkan Engkau Mutanabi Membawaku ke Dasarmu.

Penerima SEA Write 2015, Datuk Jasni Matlani pula menguasai tiga kategori buku dan satu eceran apabila memenangi genre cerpen menerusi karyanya, Perempuan Aneh yang Meletupkan Diri di dalam Gelas; kumpulan esei Angin Perubahan Memperkasakan Sastera Melayu di Sabah dan biografi Angin Perubahan Memoir Jasni Matlani. Beliau turut memenangi puisi eceran menerusi Angin yang Meletakkan Kepalanya di Bantal.

Penerima SEA Write 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir) pula memenangi kategori cerpen eceran menerusi Kraken.

Sementara itu, Yusran Shah dalam ucapannya menyifatkan HSPM sebagai pengiktirafan dan penghargaan dapat memberi galakan dan suntikan semangat kepada pengarang menghasilkan karya bermutu, kreatif serta memberikan manfaat kepada negara bangsa.

"Kementerian Pendidikan sentiasa memberikan sokongan dan kerjasama kepada DBP demi pemartabatan dan kedaulatan bahasa kebangsaan melalui sistem pendidikan negara yang dinamik dan progresif.

"Kesusasteraan Melayu adalah nadi yang menyumbang dalam pembinaan budaya dan ketamadunan bangsa serta pembentukan sahsiah dan peribadi," katanya.

Berita Harian X