Khamis, 24 November 2022 | 4:35pm
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz.

ABIM puji kematangan gabungan politik hingga PM-10 dilantik

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memuji kematangan gabungan politik negara yang berlapang dada untuk mendukung pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan isu asasi rakyat dapat diselesaikan segera.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata kematangan yang ditonjolkan ini harus disambut oleh segenap lapisan rakyat sebagai timbal balik dengan memberi dukungan penuh kepada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semoga kerajaan yang dibentuk ini dapat sama-sama meraikan peranan serta pemegang taruh utama masyarakat untuk memastikan manfaatnya dapat dirasai setiap kelompok serta segenap lapisan warga Malaysia.

"ABIM turut mendoakan semoga pelantikan ini akan merintis keharmonian politik berasaskan kepada semangat perpaduan yang dilandaskan kepada peribahasa `biduk lalu kiambang bertaut'.

"Rakyat dan negara memerlukan kepemimpinan yang dinamik dan inklusif untuk bangkit semula mengatasi pelbagai cabaran yang berlaku sepanjang beberapa tahun lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan memberi perkenan melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 yang akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, petang ini.

Pelantikan itu selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, Muhammad Faisal, berkata ABIM merafak sembah pelantikan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebagai Perdana Menteri.

"ABIM merafak sembah atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong melantik Ahli Parlimen Tambun, sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10.

"ABIM turut menyembah takzim titah pandangan Raja-Raja Melayu yang turut memberi pandangan, sekali gus memperkenankan pelantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10," katanya.

Berita Harian X