KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 memberi harapan segar dan baharu kepada seluruh rakyat yang mahukan kerajaan kukuh dan stabil.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pastinya warga Perak turut berbangga memiliki Perdana Menteri dari negeri berkenaan.
"Bagi pihak PH Perak saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja diumumkan oleh pihak istana sebagai Perdana Menteri.
"Semoga berita baik ini diiringi dengan perasaan syukur kepada Allah serta rakyat Perak mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Sebagaimana kami menzahirkan juga pada semua Paduka-Paduka Tuanku Raja Melayu yang mengamalkan amalan bersyura sebagai tanda mendambakan keberkatan llahi daripada membuat keputusan besar ini demi negara tercinta," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong,Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri yang akan mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri, petang ini.
Pelantikan itu selaras dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.