KULIM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yakin gabungan itu akan menang besar kerusi Parlimen Padang Serai dan kerusi DUN Tioman di Pahang pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Disember nanti.
Keyakinan berkenaan, kata Menteri Besar yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu dan perkembangan berhubung perebutan yang berterusan berhubung pelantikan Perdana Menteri baharu.
"Berdasarkan gelombang sokongan semasa kepada PN dan penolakan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN), ditambah dengan perkembangan terkini yang mencetus kesedaran rakyat, kami yakin dapat memenangi satu lagi kerusi untuk PN di kerusi Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman.
"Kami amat yakin Perikatan Nasional akan berjalan lancar untuk mencapai kemenangan di kedua-dua kerusi," katanya pada sidang media di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech TP, di sini hari ini.
Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah mengiringi Datuk Azman Nasruddin, calon yang dinamakan gabungan itu untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan dikekalkan bertanding PRK, 7 Disember ini ke pusat penamanan calon.
Pilihan raya Parlimen Padang Serai telah ditangguhkan berikutan kematian calon PH, M Karupaiya,69, mewakili PKR akibat serangan jantung pada Rabu lalu.