Khamis, 24 November 2022 | 1:58pm

Laungan reformasi bergema di pejabat Anwar

PETALING JAYA: Laungan reformasi bergema di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Gasing, di sini, selepas Istana Negara mengumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beberapa pimpinan PKR yang berada di pejabat itu sejak beberapa jam lalu dilihat berpelukan dan meraikan berita berkenaan dengan melaungkan reformasi, yang menjadi slogan keramat Anwar sejak lebih 20 tahun lalu.

Antara pemimpin parti yang berada di situ termasuklah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli; Naib Ketua Wanita PKR, Sangetha Jayakumar, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan bekas Naib Presiden PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan selepas selesai Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Presiden PKR itu dijadualkan mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri pada jam 5 petang di Istana Negara, hari ini.

Sementara itu, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, Setiausaha Akhbar kepada Anwar, memaklumkan pihaknya akan memaklumkan pergerakan Anwar dari semasa ke semasa kepada media.

Ketika ini, Anwar berada di kediamannya di Kajang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Berita Harian X