JOHOR BAHRU: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, digesa meletakkan jawatan berikutan prestasi buruk parti itu yang hanya menang di dua kerusi berbanding 44 kawasan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi MCA Bahagian Mersing, Tan Ah Fatt, berkata Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan, harus bertanggungjawab di atas kegagalan parti dan berundur secara terhormat.
Katanya, langkah meletak jawatan itu bagi memberi laluan kepada generasi baharu menerajui MCA, menghadapi hala tuju dan cabaran masa depan.
"Masyarakat Cina kini jelas sudah menyatakan pendiriannya pada PRU15 apabila menolak MCA, namun Presiden masih melanggar kehendak masyarakat Cina.
"Tindakan itu hanya akan menghancurkan MCA. Paling menyedihkan, MCA yang mewakili kaum Cina di Malaysia hanya memenangi dua kerusi di 44 kawasan yang majoritinya bukan Cina. Keputusan diraih MCA pada PRU15 adalah sangat teruk.
"MCA Bahagian Mersing termasuk Pemuda MCA Bahagian Mersing dengan ini menggesa Presiden mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk parti pada PRU15 dengan meletakkan jawatannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ah Fatt menyifatkan tindakan Presiden MCA meminta Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon mengeluarkan kenyataan meminta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berundur kerana kegagalan pada PRU15, sebagai melucukan.
"Presiden bukan saja gagal memimpin seluruh parti dan pemimpin akar umbi dengan hala tuju dan strategi yang jelas selepas pilihan raya, malah meminta pula Sin Woon mengeluarkan kenyataan meminta Pengerusi BN berundur.
"Kenapakah Presiden tidak berani mengeluarkan kenyataan sendiri supaya Ahmad Zahid meletak jawatan. Adakah ini bermakna Presiden MCA tidak perlu menanggung tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan teruk parti pada PRU15," katanya.
Ah Fatt berkata, Ka Siong selaku pemimpin nombor satu dalam parti seolah-olah menafikan kegagalan beliau dalam memimpin parti ini apabila menolak tanggungjawab kekalahan hanya kepada Ahmad Zahid.
"Ka Siong buat sekian kalinya menunjukkan kemahiran yang hebat seperti pepatah Hokkien 'siam'. Ia bermaksud segala kegagalan itu datang daripada orang lain, manakala segala kejayaan itu datang daripada diri sendiri," katanya.