Khamis, 24 November 2022 | 1:05pm

PN buat 'pusingan U' setuju kerajaan perpaduan

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN, hari ini.

"Mesyuarat membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang membabitkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan gabungan itu tidak bersetuju dengan cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menitahkan supaya PN dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan perpaduan.

Muhyiddin berkata, beliau memaklumkan kepada baginda, PN tidak mahu bekerjasama dengan PH kerana ia menjadi prinsip gabungan itu sejak dulu.

Cadangan itu dikemukakan Yang di-Pertuan Agong ketika Muhyiddin dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap baginda di Istana Negara, susulan tiada Ahli Dewan Rakyat yang didapati mendapat majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ia selepas hasil pengesahan mengenai calon Perdana Menteri dipersembahkan kepada baginda.

Terdahulu, pertemuan pemimpin PN berlangsung sejak jam 10 pagi tadi di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara di sini.

Pemimpin yang dilihat hadir termasuk Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun.

Hamzah Zainuddin.
Hamzah Zainuddin.
Berita Harian X