Khamis, 24 November 2022 | 12:22pm
Datuk Seri Tiong King Sing. - Foto BERNAMA
Datuk Seri Tiong King Sing. - Foto BERNAMA

PDP tidak terima maklumat menghadap Agong

KUCHING : Masalah komunikasi menyebabkan tiada wakil Parti Demokratik Progresif (PDP) bersama tiga lagi pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing, berkata beliau tidak dimaklumkan berhubung pertemuan itu manakala seorang lagi Ahli Parlimen PDP, Datuk Anyi Ngau pula ketika itu berada di kawasannya di hulu Baram.

Menurutnya, ketidakhadiran mereka pada pertemuan itu bukan bermakna mereka tidak sehaluan dengan komponen GPS lain berhubung kemelut politik yang sedang melanda negara.

"Saya tidak menerima maklumat (diarah menghadap Yang di-Pertuan Agong), mungkin mereka tidak dapat menghubungi saya.

"Anyi pula ketika itu berada di kawasannya yang dilanda banjir, sebab itu dia sukar dihubungi," katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu berkata, walaupun tidak turut serta menghadap Yang di-Pertuan Agong, PDP akur dengan apa sahaja keputusan baginda termasuk pembentukan kerajaan perpaduan.

"Saya difahamkan Yang di-Pertuan Agong menasihatkan supaya kerajaan perpaduan ditubuhkan bagi meredakan ketegangan politik sekarang dan kami menyerahkan kepada kebijaksanaan baginda," katanya.

Daripada empat Ahli Parlimen GPS yang menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada jam 11.30 pagi semalam dua adalah dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) masing-masing seorang wakil.

Mereka ialah Naib Presiden Kanan PBB, Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang juga Ahli Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Setiausaha Agung PBB yang juga Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang.

Berita Harian X