Khamis, 24 November 2022 | 12:19pm
Johari tiba di pejabat Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Johari tiba di pejabat Anwar di Bukit Gasing, Petaling Jaya. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Keputusan MKT UMNO isyarat jelas gabungan akan dipilih bentuk kerajaan

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Kedah menyifatkan UMNO memberi mesej jelas mengenai gabungan yang akan dipilih parti itu sekiranya kerajaan perpaduan dibentuk, selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Johari Abdul, berkata kenyataan dikeluarkan UMNO kelmarin menunjukkan parti itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak, kecuali Perikatan Nasional (PN).

Beliau berharap situasi itu bakal membawa kepada penyelesaian terbaik dalam tempoh terdekat mengenai pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri, khususnya kepada PH.

"Saya lihat mesej daripada UMNO itu jelas. Mereka boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak kecuali PN. Jadi, kami mengharapkan yang terbaik (untuk PH)," katanya ketika ditemui di hadapan pejabat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO semalam, yang bersetuju mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan selaras titah Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, UMNO hanya bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN.

Sementara itu, ditanya mengenai tujuan kehadirannya ke pejabat Anwar semalam, Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun memaklumkan beliau hadir bagi membincangkan tindakan seterusnya dalam proses pembentukan kerajaan.

Selain itu, beliau juga hadir untuk berbincang mengenai persediaan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, yang dijangka diadakan pertengahan tahun depan.

"Hari ini jumpa kawan-kawan, (bincang) untuk tindakan seterusnya. Saya sebagai ADUN kena sedia apa akan berlaku.

"Ini kerana Kedah pun mungkin akan adakan PRN, yang saya jangka antara Mei dan Jun tahun depan. Kita kena sedia apa akan berlaku," katanya.

Berita Harian X