Khamis, 24 November 2022 | 12:07pm
Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

STAR sokong kerajaan perpaduan - Jeffrey

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) terbuka untuk menyokong pembentukan Kerajaan perpaduan.

Presiden STAR yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata parti itu menyifatkan cara terbabit ialah jalan terbabit menyelesaikan kemelut pelantikan perdana menteri, ketika ini.

"Berikutan kebuntuan politik yang sedang dihadapi rakyat dan mempertimbang cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan kerajaan perpaduan. Ini jalan penyelesaian terbaik buat masa ini.

"Bagi kami dalam STAR, kami terbuka untuk menyokong kerajaan perpaduan," katanya hari ini.

Isnin lalu, Pengerusi GRS, Datuk Hajiji Noor, berkata GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan membentuk kerajaan Persekutuan.

Hajiji juga berkata, perjanjian kerjasama di antara GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah terbatal apabila BN tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Katanya, perjanjian dipersetujui GRS dan BN sebelum ini ialah GRS akan memberi sokongan kepada UMNO/BN, jika parti itu layak membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi perdana menteri.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri turut menekankan kerajaan jika perpaduan mahu berfungsi dengan baik, ia mesti bersifat inklusif dan membabitkan pemimpin Sabah dan Sarawak.

Katanya, mekanisme kerajaan perpaduan juga harus diwujudkan dengan jelas supaya ia berfungsi dengan cekap.

Beliau berkata, kestabilan negara juga perkara yang paling penting.

"Negara perlu maju ke hadapan. Bagi berbuat demikian, kita mesti mempunyai kestabilan," katanya.

Selain itu, Jeffrey juga menyatakan beliau akan menyampaikan pendirian parti yang diterajui beliau kepada rakan sekutu lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Pada Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah mencadangkan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan perpaduan demi negara dan rakyat.

Seri paduka juga menitahkan 30 Ahli Parlimen BN menjadi sebahagian kerajaan baharu itu.

Kenderaan yang membawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tiba bagi perbincangan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kenderaan yang membawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin tiba bagi perbincangan Raja-Raja Melayu di Istana Negara, pagi tadi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Berita Harian X