Khamis, 24 November 2022 | 11:52am

Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kelantan, sudah ada di Istana Negara

KUALA LUMPUR: Semua Raja-Raja Melayu kecuali Sultan Kelantan, hadir ke Istana Negara, bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, hari ini.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang terakhir tiba di Pintu Utama Istana Negara, pada jam 10.58 pagi.

Perlis diwakili Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan hari ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, merungkai kemelut pembentukan kerajaan.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.

Kenderaan yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat tiba di Istana Negara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kenderaan yang membawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat tiba di Istana Negara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam.

Pertemuan Khas Majlis Raja-Raja hari ini adalah susulan daripada sesi menghadap yang diadakan semalam, sebelum Yang di-Pertuan Agong menitah perkenan untuk Istana Negara menganjurkan satu Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara hari ini.

Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu ini juga bagi membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu bagi baginda membuat keputusan demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat.

Kenderaan yang membawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat tiba di Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad
Kenderaan yang membawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat tiba di Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad

Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berangkat tiba di Istana Negara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Kenderaan yang membawa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir berangkat tiba di Istana Negara. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Semalam, tiga wakil pimpinan tertinggi BN dan empat pimpinan kanan GPS hadir ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ia selepas Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya 30 Ahli Parlimen BN menghadap baginda pada jam 10.30 pagi ini, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan memohon penangguhan kedua daripada Istana Negara untuk sesi menghadap semua Ahli Parlimen berkenaan.

Sehari sebelum itu, baginda mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas kedua-duanya gagal menerima sokongan majoriti mudah 112 Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Kenderaan yang membawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat tiba bagi menghadiri perbincangan Khas Raja-Raja Melayu sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merungkai kemelut pembentukan kerajaan di Istana Negara. - NSTP/Aizuddin Saad

Berita Harian X