KUALA LUMPUR: Sepuluh perkara yang dipersetujui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, dilihat terarah kepada soal kestabilan, kemakmuran dan keselamatan negara.
Penganalisis politik percaya 10 perkara itu jika dilaksanakan, dapat mewujudkan Malaysia yang lebih baik ketika berhadapan jangkaan kemerosotan ekonomi dunia serta ancaman COVID-19 yang masih bebas sepenuhnya.
Justeru, penganalisis politik mencadangkan perjanjian berkenaan perlu dimeterai kedua-dua parti dan ditunaikan sebagai jaminan ke arah kestabilan dan kesejahteraan rakyat dan negara.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd Ali, berkata 10 perkara dalam perjanjian berkenaan adalah komponen yang penting untuk kedua-dua parti gabungan bukan hanya janji dalam kertas tetapi ditunai bagi mengukuhkan kestabilan negara pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Katanya, beliau percaya 10 perkara itu sudah tentunya mengambil pengajaran daripada kemelut yang berlaku beberapa tahun ini sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Saya kira PH dan BN maklum sokongan ke atas mereka merosot pada PRU15, dan kedua-duanya kini terpaksa mengetepikan prinsip masing-masing dan tidak lagi bertelagah bagi membentuk perjanjian yang menuju kepada pembentukan Malaysia yang lebih sejahtera.
"Saya fikir pada PRU15 ini, pengundi sudah menghukum parti politik dan mereka memberikan mesej yang jelas dan 10 syarat itu mengambil maklum pesanan rakyat, maka setiap parti perlu beri keutamaan 10 perkara ini dalam pembentukan kerajaan perpaduan seperti disarankan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada BH.
Beliau berkata demikian mengulas 10 perkara dipersetujui PH dan BN bagi membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia.
Antara 10 perkara itu komposisi kerajaan mempunyai wakil setiap parti yang akan memegang jawatan kanan selepas rundingan dimuktamadkan; penggal Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum tamat tempoh lima tahun; jawatan Perdana Menteri dipegang Ahli Parlimen PH manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh pemimpin BN.
Turut dinyatakan dalam 10 perkara itu, portfolio utama dalam Kabinet iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pertahanan akan dirunding oleh Perdana Menteri dan Timbalannya supaya agihan berlaku secara adil dan saksama berdasarkan kesesuaian serta kepakaran masing-masing.
Selain itu, kerajaan dibentuk akan mengambil langkah perlu bagi memastikan dasar, program, pendirian dan hala tuju kerajaan, termasuk wakil parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, menjunjung peruntukan Perlembagaan berhubung kedudukan Islam, Melayu/Bumiputera dan Raja-Raja Melayu supaya tidak mengguris atau melanggar soal kepentingan Islam, Melayu/Bumiputera dan monarki.
Muhamad Asri yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pembangunan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya berkata, beliau percaya kehadiran tokoh baharu dalam Kabinet kerajaan PH-BN dapat memberi peluang menunjukkan kebolehan, kemahiran dan kepakarannya berhadapan cabaran yang semakin mencabar serta menuntut kemahiran tinggi penyelesaian masalah.
Katanya, pasca PRU15 seharusnya dijadikan medan mewujudkan dasar pentadbiran baharu mengikut acuan tempatan dan mengukuhkan ekonomi bagi menghasilkan Malaysia yang lebih baik.
Beliau juga menekan pembentukan kerajaan PH-BN adalah lebih bersifat kerajaan gabungan jika dipersetujui ada wakil daripada kedua-dua parti dalam Kabinet.
"Dalam konsep kerajaan perpaduan, saya kira pembangkang tidak bersama kerajaan, tetapi apabila mereka yang tewas ditawarkan menganggotai Kabinet, maka ini lebih kepada konsep kerajaan gabungan.
"Ini berbeza dengan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri yang mana ketika itu pembangkang masih duduk di kerusi mereka dan tidak menyertai Kabinet.
"Kerajaan Perpaduan membabitkan PH-BN ini satu yang lebih jelas, kukuh, kolektif dan bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.
Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis politik dan pensyarah kanan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman, berkata jelas sekali 10 syarat dalam perjanjian kerjasama PH-BN mengambil iktibar kemelut politik yang melanda negara untuk empat tahun yang lalu menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan.
Katanya, jelas kedua-dua parti mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan kestabilan negara di kembalikan
"Jelas sekali kandungan 10 syarat itu, satu yang mementingkan kestabilan dan kemakmuran negara.
"Maka, pihak PH dan BN perlu memeterai perjanjian supaya tidak ada pihak yang mencabuli ketetapan dibuat dan sebagai jaminan kedua-dua parti tidak lagi sibuk berpolitik pasca PRU15.
"Saya percaya ini bukan mudah kerana ada parti terpaksa menjual prinsip dan maruah demi kemakmuran dan kesejahteraan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Beliau menjelaskan, daripada 10 perkara itu, jelas sekali kedua-dua parti kini pentingkan kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan rakyat yang pastinya membantu membangunkan kembali pentadbiran dan mengukuhkan kedudukan ekonomi negara bagi berhadapan cabaran 2023.