KUALA LUMPUR: Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu berlangsung di Istana Negara pagi ini sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk merungkai kemelut pembentukan kerajaan.
Pengamal media terus menunggu di Istana Negara yang semestinya menjadi tumpuan utama untuk memberikan perkembangan terkini mengenai usaha menamatkan kemelut pembentukan kerajaan selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 dimuktamadkan Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dilihat yang pertama tiba di Istana Negara, bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.
Baginda yang menaiki kereta jenis Audi diiringi pasukan pengiring bersama empat lagi kenderaan lain tiba di Istana Negara melalui pintu utama jam 9.40 pagi.
Tidak lama kemudian, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut memasuki pintu sama pada jam 10.22 pagi.
Ia disusuli ketibaan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada jam 10.30 pagi.
Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadli Shamsuddin, berkata perbincangan khas itu bertujuan membolehkan Al-Sultan Abdullah mendapatkan pandangan Raja-Raja Melayu dalam membuat keputusan mengenai pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Katanya, perbincangan dengan Raja-Raja Melayu itu diadakan selepas Yang di-Pertuan Agong menerima menghadap wakil pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pagi semalam.