Rabu, 23 November 2022 | 11:04pm

PRU15: Peguam diumum sebagai calon PH

KULIM: Pakatan Harapan (PH) mengumumkan peguam, Dr Mohamad Sofee Razak, 47, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mohamad Sofee diumumkan sebagai calon bagi kerusi Parlimen itu yang ditangguhkan sebelum ini berikutan kematian calon PH, Karupaiya Mutusami, 69, akibat serangan jantung, Rabu minggu lalu.

Pengumuman itu dilakukan Naib Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam satu majlis yang diadakan di sini, malam ini.

Mohamad Sofee yang juga Setiausaha PH Kedah sebelum ini pernah bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Pilihan raya Parlimen Padang Serai sebelum ini terpaksa ditangguhkan kepada 7 Disember susulan kematian Karupaiya.

Pada PRU14, Karupaiya memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,813 selepas menewaskan Datuk Dr Leong Yong Kong (MCA) dan Muhammad Sobri Osman (PAS).

Pada penamaan calon sebelum ini, kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan pertembungan enam penjuru di antara Karupaiya (PH), calon Barisan Nasional (BN), Datuk Sivaraj Chandran, Datuk Azman Nasrudin (PN), Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Mohd Bakhri Hashim (WARISAN) dan Amanda AK (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Disember dan pengundian awal pada 3 Disember.

Calon mempunyai 13 hari untuk berkempen, yang berakhir pada 11.59 malam pada 6 Disember.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Salahuddin Ayub (kiri) dan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar (kanan) mengumumkan Mohamad Sofee Razak sebagai calon PH bagi parlimen Padang Serai sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada majlis pengumuman di Pusat Perniagaan Seraya, Kulim, malam ini. - NSTP/Danial Saad

Berita Harian X