KUALA LUMPUR: Pertemuan antara pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Hotel St Regis di sini, dipercayai berhubung isu pembentukan kerajaan berlangsung selama kira-kira dua jam.
Mesyuarat yang bermula pada jam 3 petang itu antaranya dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang juga Naib Presiden UMNO; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan; Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Timbalan Presiden, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup.
PN pula diwakili Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusinya, yang juga Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Ronald Kiandee serta Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, hasil pertemuan itu tidak diketahui kerana semua pemimpin kedua-dua gabungan itu menggunakan laluan keluar di bahagian belakang hotel bagi mengelak bertemu wakil media.
Terdahulu, Ismail Sabri menjadi pemimpin pertama yang dilihat tiba di hotel itu pada jam 2.57 petang.
Ketika ditanya media mengenai mesyuarat apa yang akan dihadirinya, beliau hanya berkata, "Tak tahu lagi."
Mohamad, kemudian tiba pada jam 3.04 petang, diikuti Hamzah.
Petugas media berkumpul di Hotel St Regis sejak jam 10 pagi tadi selepas mendapat maklumat terdapat satu pertemuan akan berlangsung, antara pemimpin BN dan PN.
Pagi tadi, tiga pemimpin BN menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Ia selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya semua 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda hari ini, selepas baginda bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang semalam.
Pemimpin berkenaan ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Mohamad dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Malam tadi, mesyuarat Dewan Tertinggi BN, memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara supaya menangguhkan pertemuan baginda dengan 30 Ahli Parlimen berkenaan.