KUALA LUMPUR: Buat julung kali selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), Sabtu lalu, pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari ini bertemu dipercayai bagi merungkai kemelut politik negara yang berlarutan sejak beberapa hari lalu.
Pertemuan di Hotel St Regis, di sini itu bermula petang ini dipercayai bagi membincangkan kerjasama bagi membentuk kerajaan Persekutuan sekali gus memilih Perdana Menteri ke-10.
Ia dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO yang tiba pada jam 2.57 petang.
Ketika ditanya media mengenai mesyuarat apa yang akan dihadirinya, beliau hanya berkata, "Tak tahu lagi."
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan, kemudian tiba di hotel berkenaan pada jam 3.04 petang.
Ia diikuti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada jam 3.15 petang.
Petugas media berkumpul di hotel berkenaan sejak jam 10 pagi selepas mendapat maklumat terdapat satu pertemuan akan berlangsung di sini, didakwa antara pemimpin BN dan PN.
Petugas media berkumpul di hotel ini sejak jam 10 pagi tadi selepas mendapat maklumat terdapat satu pertemuan akan berlangsung di sini, antara pemimpin BN dan PN.
Pagi tadi, tiga pemimpin BN menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Ia selepas Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya semua 30 Ahli Parlimen BN untuk menghadap baginda hari ini, selepas baginda bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, petang semalam.
Pemimpin berkenaan ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Mohamad dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Malam tadi, mesyuarat Dewan Tertinggi BN, memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara supaya menangguhkan pertemuan baginda dengan 30 Ahli Parlimen berkenaan.