Rabu, 23 November 2022 | 3:42pm
Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen pada 7 Oktober lalu. - Foto fail NSTP
Pembentangan Bajet 2023 di Bangunan Parlimen pada 7 Oktober lalu. - Foto fail NSTP

Perdana Menteri 'caretaker' tidak boleh panggil sidang Parlimen, bentang bajet

KUALA LUMPUR: Hanya Perdana Menteri yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas mandat baharu boleh 'memanggil' persidangan Parlimen bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Belanjawan 2023.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata ini kerana Perdana Menteri 'caretaker' tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya, melainkan beliau dilantik semula menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, ia membawa maksud, Perdana Menteri 'caretaker' tidak boleh memanggil sidang Parlimen dan membentangkan RUU, termasuk mini RUU Belanjawan 2023 seperti yang diumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Atas dasar itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, perlu melantik Perdana Menteri dengan kadar segera bagi melancarkan urusan pentadbiran negara.

Katanya, dalam tempoh sebelum pelantikan itu, Yang di-Pertuan Agong boleh memperkenankan kelulusan bayaran emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya menyentuh pembayaran gaji penjawat awam.

Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.
Pakar Perlembagaan daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

"Ia boleh dibayar dan diuruskan dengan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong kerana kuasa baginda menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan tidak terbubar dengan pembubaran Parlimen.

"Selepas Parlimen dibubarkan, Perdana Menteri perlu dilantik menurut Perkara 43(2)(a) untuk membolehkannya memanggil Ahli Parlimen bagi persidangan penggal baharu Dewan Rakyat.

"Hanya Perdana Menteri sebagai ketua majlis mesyuarat Parlimen, yang boleh menasihati Seri Paduka untuk menetapkan sidang Dewan Rakyat dan memanggil mesyuarat untuk membentangkan sebarang RUU," katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Perdana Menteri Sementara, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa kerajaan sementara akan membentangkan mini RUU Belanjawan 2023, bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, khususnya menyentuh pembayaran gaji penjawat awam.

Ismail Sabri dilaporkan berkata, langkah itu akan dibuat jika tiada mana-mana parti membentuk kerajaan dalam masa terdekat.

Wan Ahmad Fauzi berkata, kerajaan sementara tidak boleh membentangkan sebarang RUU, termasuk mini RUU Belanjawan 2023, namun Yang di-Pertuan Agong boleh meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus kerajaan, yang kemudian diratifikasi di Parlimen selepas pembentukan kerajaan baharu mengikut Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan.

"Jemaah Menteri 'caretaker' tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan perbelanjaan yang belum diperuntukkan kerana mandat mereka sudah berakhir dengan pembubaran Parlimen walaupun terpilih semula sebagai ahli Dewan Rakyat.

"Pelantikan kerana pelantikan baharu Jemaah Menteri perlu terlebih dahulu disempurnakan mengikut undang-undang perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, sidang Dewan Rakyat perlu dijalankan dalam tempoh 120 selepas Parlimen dibubarkan.

Berita Harian X