PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tenang dan meneruskan rutin seperti biasa dengan ke pejabatnya di Jalan Gasing, di sini.
Di sebalik kemelut pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan Perdana Menteri Ke-10, Presiden PKR itu tiba di pejabat bagi melakukan tugas harian, disusuli Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil.
Fahmi ketika dihubungi berkata, tiada mesyuarat diatur membabitkan pemimpin PH setakat ini di pejabat Anwar.
Pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri Ke-10 yang terarah kepada Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin masih gagal diselesaikan selepas tiga hari Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilangsungkan Sabtu lalu.
PH dan PN adalah dua blok parti politik yang mendapat jumlah kerusi Dewan Rakyat tertinggi pada PRU15. PH memperoleh 82 kerusi, manakala PN 73 kerusi, namun tidak cukup untuk majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.
Kedua-dua blok parti itu memerlukan sokongan Ahli Parlimen mewakili gabungan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) yang menang 30 kerusi bagi mendapat majoriti mudah sokongan 112 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat.
Bagi menyelesaikan kemelut, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pemimpin gabungan parti politik menghadap baginda di Istana Negara bermula semalam.
Semalam, Anwar dan Muhyiddin masuk menghadap Seri Paduka, namun tiada penyelesaian dan hari ini, tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) dan empat pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbuat demikian.
BN diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
GPS diwakili Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Datuk Seri Tiong King Sing daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).
Semalam, Yang di-Pertuan Agong turut menitahkan semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap baginda, namun mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi memutuskan untuk memohon penangguhan.