KUALA LUMPUR: Sesi menghadap antara beberapa pemimpin parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara selesai setakat tengah hari ini.
Pertemuan berkenaan membabitkan tiga pimpinan Barisan Nasional (BN) dan empat pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
BN diwakili Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Ketiga-tiga mereka tiba di Istana Negara secara berasingan sekitar jam 10.40 pagi, sebelum keluar pada jam 11.23 pagi selepas mengadakan pertemuan dengan Al-Sultan Abdullah selama kira-kira 40 minit.
Sementara itu, GPS diwakili Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB); Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Datuk Seri Tiong King Sing daripada Parti Demokratik Progresif (PDP).
Keempat-empat pemimpin GPS berkenaan tiba pada jam 11.07 pagi menaiki empat kenderaan berwarna hitam, sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong selama kira-kira 45 minit dan keluar pada jam 11.56 pagi.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap baginda pada jam 10.30 pagi ini.
Namun, mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam memutuskan untuk memohon kepada Istana Negara menangguhkan pertemuan baginda dengan 30 Ahli Parlimen berkenaan.
Sehingga jam 12.30 tengah hari ini, kelibat semua Ahli Parlimen itu, kecuali Ahmad Zahid dan Mohamad, masih tidak kelihatan, manakala Istana Negara tidak mengeluarkan kenyataan memaklumkan sama ada pertemuan berkenaan ditangguhkan atau sebaliknya.
Kemelut pemilihan Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan baharu kini memasuki hari keempat, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu menyaksikan tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen.