KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur melaksanakan enam sekatan jalan raya di seluruh kawasan berhampiran Istana Negara terutama di kawasan Pintu 2.
Seramai 632 pegawai dan anggota membabitkan penugasan dari Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) turut ditempatkan mengawasi kawasan sekitar Istana Negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pengawasan di kawasan sekitar Istana Negara termasuk setiap laluan pintu masuk bertujuan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.
"Ia juga bagi memastikan urusan rasmi Istana Negara memanggil setiap pemimpin parti politik dan pegawai tertinggi kerajaan lancar tanpa gangguan," katanya kepada BH, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azmi memaklumkan 24 sekatan jalan raya dibuat bermula malam tadi di seluruh Kuala Lumpur dan Putrajaya.
"Sekatan jalan raya ini termasuk enam yang dilaksanakan di kawasan berhampiran Istana Negara," katanya.
Katanya, seramai 104 pegawai dan 1,336 anggota terbabit dengan sekatan jalan raya dan kawalan keselamatan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Beliau turut meminta masyarakat sentiasa memberi kerjasama kepada pegawai dan anggota polis yang melaksanakan penugasan.
Berdasarkan pemantauan BH di lokasi Pintu 2 Istana Negara, kawalan keselamatan dilaksanakan di semua laluan masuk.
Turut ditempatkan adalah Pasukan Tempur Ringan (LSF) bagi mengawasi kejadian tidak diingini.