Rabu, 23 November 2022 | 10:39am
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg meraikan kemenangan GPS pada PRU-15, Sabtu lalu. - BERNAMA
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg meraikan kemenangan GPS pada PRU-15, Sabtu lalu. - BERNAMA

Kemelut calon PM: GPS pula dititah menghadap Agong

KUALA LUMPUR: Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah, hari ini.

Menurut sumber, ia sama seperti titah menghadap kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

"Sama seperti PH dan PN semalam. Hari ini 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diminta ke istana. Terbaharu, GPS pula diminta menghadap.

"Kami rasa ia mempunyai tujuan yang sama, iaitu untuk mendengar sendiri daripada semua pihak," kata sumber berkenaan.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - NSTP/Foto hiasan.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dititahkan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. - NSTP/Foto hiasan.

GPS menang 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15, Sabtu lalu.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan GPS, memaklumkan wakil gabungan itu dititahkan menghadap baginda yang dijadualkan pada jam 11.30 pagi ini.

Mereka ialah Datuk Seri Richard Riot dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Datuk Aaron Ago Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Datuk Seri Mohd Fadillah Yusof serta Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Difahamkan, Seri Paduka perlu menemui Ahli Parlimen GPS selepas pertemuan dengan PH dan PN tidak mencapai penyelesaian ke arah pembentukan kerajaan perpaduan, susulan keengganan Muhyiddin menjalin kerjasama dengan PH.

"Pihak istana, seperti kata Anwar semalam, cenderung kepada kerajaan perpaduan. Dia (Anwar) setuju, namun Muhyiddin secara jelas menolak.

"Justeru, (Ahli Parlimen) BN pula dititahkan menghadap, disusuli GPS. Ini adalah antara jalan untuk mengelakkan Parlimen terus tergantung.

"Kerajaan perlu ditubuhkan segera. Banyak urusan lagi untuk dilaksanakan, termasuk Bajet 2023 selain memiliki sebuah kerajaan yang stabil," katanya.

Berita Harian X